Wednesday, October 31, 2007

221: Entry Sopan Seorang Saya, Final!


Saya kurang pasti, berapakah jarak masa antara detik perkahwinan Abang Sham dengan sambutan Hari Raya Haji. Mungkin kurang dari sebulan, mungkin lebih. Yang pasti, antara keduanya, saya memang langsung tidak menghubungi dia. Rasanya tentu tidak manis jika saya masih terus-terusan menjadikan dia tempat mengadu seperti dulu, dan saya memahami situasi dia kini. Maka saya terus vakum dalam kehidupan harian di kampus, manakala dia – entahlah, mungkin sibuk mengharungi perjalanan baru sebagai seorang suami.

Hari Raya Haji. Tahun-tahun sebelum ini, memang menjadi kebiasaan kami akan menelefon sesama sendiri untuk mengucap selamat. Tetapi tahun ini, tiada panggilan yang saya terima dari dia. Lalu demi untuk melunaskan janji yang telah saya lafazkan sebelum dia bernikah, saya mendail nombor telefon rumahnya. Dan reaksinya..

Agak mengecewakan. Abang Sham yang saya kenali dulu tidak pernah gagal mengecam suara saya walaupun ketika saya demam teruk. Tetapi kali ini apabila dia bertanya siapa saya, terasa bergetar perasaan. Sedikit sebanyak terusik juga naluri, tetapi saya sekadar positif – mungkin dia bimbang tersalah orang. Minit demi minit, perbualan terasa kian hambar, dan hati saya tertanya-tanya, adakah saya yang tersalah dail nombor, ataupun memang dia tidak mahu bercakap dengan saya?

Orang rasa abang dah lainlah..
Lain ape?
Ermm. Entah. Tapi dah lain, dah tak macam dulu..
Memanglah lain, dah kawin

Dan saya mula mengerti. Jadi, perkahwinankah yang bersalah kerana bakal memisahkan saya dengan seseorang yang saya kenali terdahulu berbanding isterinya sendiri? Atau sayakah yang salah, kerana enggan mengerti bahawa dia bukan lagi Abang Sham – abang yang menghampiri saya ketika awal remaja dulu? Sungguh tercalar benar rasa hati saya, bukan kerana dia sudah berkahwin, tetapi kerana saya melihat dengan jelas yang keberadaan saya sudah tidak diperlukan lagi. Maka perbualan itu saya tamatkan seberapa pantas, dan lebih menyedihkan apabila dia seperti sudah tidak peduli lagi. Jika dulu seboleh-bolehnya dia menahan saya daripada memutuskan perbualan, tapi kini nampaknya dia bagaikan mengalu-alukan tindakan saya.

Dingin. Jiwa yang kosong. Dan kehilangan. Sunyi. Saya tidak menangis secara zahirnya, tapi mungkin di dalam hati.. entahlah, saya sendiri gagal mencari perkataan yang mampu menyatakan apa yang saya rasa sebenarnya. Saya bukannya cemburukan kebahagiaan dia, tidak. Dia lelaki yang baik, malah terbaik yang pernah saya jumpa – sekurang-kurangnya hingga saat itu – dan dia berhak mengecapi kebahagiaan yang seperti itu. Tetapi mengapa di saat saya diminta berjanji tidak memutuskan persahabatan, akhirnya dia yang bertindak sedemikian – dengan cara yang amat menyakitkan. Saya tidak marah, sumpah tidak. Mungkin terkilan, tertanya-tanya di mana salah saya.

Abang dah nak kawin ni, bole ke kita kawan lagi?
Apsal tak boleh pulak?
Yelah.. nanti orang rumah abang kata ape pulak
Eh, kalau abang boleh terima kawan-kawan dia, kenapa dia tak boleh terima kawan abang?
Perempuan lain bang.. cemburu dia lain..
Ape pulak! Abang kenal awak lagi lama dari dia tau. So dia kena terima awak, macam dia terima abang jugak

Lalu siapa pula yang akhirnya melupakan? Saya masih mampu menerima andai diberitahu terang-terangan keputusannya. Tetapi kenapa mesti pergi dengan cara begini, dengan cara yang benar-benar melukai hati saya. Tahukah dia, bukan mudah untuk saya meyakinkan diri saya sebelum menelefon dia? Tahukah dia, sehingga saya berjaya membuat hati saya tenang dengan kata-kata dia itu, saya tidak berani langsung menyentuh gagang telefon? Tahukah dia, sepanjang masa saya di kampus, betapa saya cuba sedaya mungkin untuk menyesuaikan diri dengan ketiadaan dia?

Dia tidak tahu. Dan tidak akan pernah tahu. Namun tidak pernah saya berdendam, tidak juga saya membenci. Jika benar kehadiran saya tidak diinginkan, maka seharusnya saya sedar diri. Bulan berganti masa. Kawan-kawan yang pada mulanya sering bertanya tentang ketiadaan panggilan telefon darinya juga sudah mula melupai keadaan tersebut. Saya pula, belajar menghadapi segalanya sendirian. Agak sukar, tetapi alhamdulillah, kawan-kawan sekeliling membuatkan saya terlupa seketika akan kehilangan dia. Sehinggalah..

Bulan Oktober, apabila ayahanda tercinta dijemput menghadapNya. Berat yang amat berat, memandangkan keadaan tersebut terpaksa saya tempuhi di saat saya sedang bergelut untuk menghadapi peperiksaan akhir semester. Masih saya ingat, di celah keriuhan orang ramai di rumah, saya cuba menelefon Abang Sham – sekadar untuk memaklumkan. Malangnya, talian telefon rumahnya tidak lagi aktif.

Saya kehilangan semuanya. Saya kehilangan abah, dan saya juga kehilangan dia. Sungguh saya terbeban dengan kehilangan sebegini. Tamat peperiksaan, cuti semester pun bermula. Selepas abah meninggal, Angah menghadiahkan saya sebuah telefon bimbit beserta nombonya sekali bagi memudahkan semua abang-abang dan mak menghubungi saya. Semuanya memang jelas amat risaukan saya, dan saya fahami kerisauan mereka. Semasa bercuti, saya masih belum dapat meleraikan rasa kusut di jiwa, kerana berita kematian abah masih tidak dapat disampaikan kepada Abang Sham. Saya perlukan dia ketika ini, saya sangat perlukan dia.

Oleh kerana tiada cara lain untuk saya hubungi dia, maka saya tuliskan sepucuk surat ringkas untuknya. Tidak lupa saya maklumkan tentang nombor telefon bimbit saya dengan harapan dia akan menghubungi saya secepat mungkin – jika dia masih sudi, masih menganggap saya seseorang yang pernah hadir dalam hidupnya. Sayang seribu kali sayang, sehingga kisah ini saya coretkan, dia masih lagi tidak menghubungi saya. Tidak pernah, walau sekali. Dan dalam masa 7 tahun ini, saya tidak pernah menukar nombor. Masih, tetap tiada panggilan daripadanya....

Kisah saya bukanlah seperti novel yang anda pernah baca di kedai-kedai buku. Kisah ini berakhir begitu sahaja, hanya begini. Tiada penghujung yang manis, memang tiada. Seperti yang saya katakan, setelah 7 tahun ia berlalu, saya anggapkan saja Abang Sham kini hidup bahagia, amat bahagia. Terlalu bahagia, hingga berjaya melenyapkan memori tentang saya. Cuba membayangkan bagaimana agaknya keadaan dia sekarang, tetapi tidak tergambar di ruang minda.

Mungkin bagi dia, saya tiada makna, tetapi bagi saya, lelaki yang saya panggil Abang Sham itu adalah antara insan yang berjaya menyentuh hati saya dengan kehadirannya sepanjang 6 tahun itu. Yang memberi erti, sehinggakan saya masih lagi terkenangkannya. Terutama sekali apabila sesekali saya melewati kampungnya jika saya pulang ke Melaka. Dan rumah separa batu bercat kuning itu semakin berseri dari kejauhan, mungkin membayangkan kegembiraan yang dikecapi penghuninya.

Abang, kalaulah abang dapat dengar... saya benar mahu abang tahu, saya mohon ampun, andai satu masa dulu, kehadiran dan keprihatinan abang telah saya salahgunakan. Demi Allah, tiada sepincing niat di hati untuk mempermainkan perasaan abang, mahu merosakkan perasaan abang. Sayalah manusia biasa itu, yang dalam keghairahan menikmati waktu remajanya, selalu terlupa dan tidak sedar, ada hati yang terluka dek kelakuan saya. Tetapi saya sangat percaya, takdir yang tertulis untuk abang jauh lebih indah berbanding saya. Bahagialah, saya doakan.


Maaf, andai kisah ini tiada indah.


Ku mengerti perpisahan ini
Bukan kerana kau membenci
Tapi kasih yang pernah kuberi
Tiada lagi bersama

Seringkala aku terlihatkanmu
Impian nan indah
Bersulam bahagia

Ku harungi hari demi hari
Bersama wajah tak mungkin akan kembali
Tapi hati masih tak terima
Ditinggalkan sengsara

Keraguan ini bukanlah padamu
Perasaan hati masih rindu
Kekalutan ini hanyalah untukku
Tercari-cari bayanganmu
Tak sanggup aku kehilangan
Kehilanganmu

Kasih tercari-cari

Keraguan ini bukanlah padamu
Masih tercari-cari bayanganmu
Tak sanggup aku kehilanganmu...

31 comments:

aNoi haLim said...

sedeynya...
uhukuhuk... T_T

Ungku Nor said...

tersedak-sedak ler abang Sham tu untuk beberapa hari hingga la novel yang berjudul Supan Seorang Saya ini selesai ditulis.

err..tapi nape rasa macam tak klimaks je ending dia.

Karang kalo kitaorg buat spekulasi sendiri karang..

hehehe..siap ler kedondong bebanyak!!!

lalalala ;p

Masy said...

anoi halim,
aik nanges kaa.. jgn jgn hehe

kak ungku,
aaa untung² klu tersedak dia tingat kt sy, ok le tu ;)

mmg xde klimaks laa kak. graf jatuh merudum hehe.

kt semban takde kedondong ke aaa?? :p

Ungku Nor said...

ada je kedondong kat Seremban ni tapi nak kena beli la. So tak berapa nak sedap dia punya rasa.

yg kat Sg Udang tu, sedap giler.

sebab pree..
;p

skidg8 said...

sedih sedih

tapi hidup kene teruskan!

semoga berbahagia selalu!

Indera Kencana said...

Waahhh... sebuah kisah yang terindah dan sarat dengan emosi. Di akhirnya menyentuh hati...

Masy,
Apabila saya membaca kisah ini, saya cuba menjiwai hati nurani kedua-dua belah pihak. Hati nuranimu, juga hati nurani Sham. Apa yang boleh saya simpulkan dari kisah ini, sedari awal lagi, sejak Masy mengenali Sham, Masy sudah membuat keputusan bahawa Sham bakalan menjadi insan teristimewa di hatimu. Masy telah berkeputusan bahawa keistimewaan itu dalam bentuk Sham adalah seorang sahabat, teman dan juga abang. Namun di hati Masy tidak rela bahawa perhubungan itu sampai melangkaui garisan cinta. Sham segalanya. Dia tempat mengadu hal dan dia juga yang membahagiakan.

Tetapi dalam perihal Sham pula, dia juga telah meletakkan Masy di tempat teristimewa di hatinya. Sebagai ratu hatinya yang mana tiada wanita lain akan yang dapat bertahta di situ. Namun takdir telah memisahkan Masy dan Sham pada jalan kalian masing-masing. Sungguhpun begitu, perihal yang bersarang di hati tidak pernah berubah. Masih begitu. Cuma Sham berpendapat bahawa pekerjaannya dan status yang dimiliki bakalan menjadi angan tidak kesampaian. Jika Masy tidak kisah akan perkara itu, mungkin dari kalangan sanak saudara Masy akan membangkitkannya. Sham takut terkecewa dengan harapan. Lantas itu kekecewaan itu diubatinya dengan membina sebuah hubungan dengan Emi. Mudah-mudahan kehadiran Emi akan dapat melupakan Sham pada Masy.

Emi sesungguhnya sama sekali tidak dapat menggantikan hatinya yang telah tergadai pada Masy. Untuk itu hubungan Sham dengan Emi lebih kepada satu kompromi. Ianya rumit. Kerana itu Sham tetap mahukan Masy hadir di majlis persandingannya walau apa jua keadaan.

Sewaktu setiap mata yang memandang Masy sewaktu Makan Berhadap itu, di situ telah timbul cemburu di hati Emi. Betapa istimewanya Masy pada Sham. Lalu Emi bertekad dengan sedaya upaya menjauhkan Sham dari Masy demi perkahwinan mereka yang baru mereka bina kerana Emi tahu bahawa dia sesekali tidak akan dapat menandingi Masy dalam hati Sham.

Masy, sebenarnya perasaan sayang Masy pada Sham sudah terlalu besar cuma ianya tidak dipupuk dan dibajai mesra. Andainya Masy sering bertemu dengan Sham, perasaan sayang itu pasti melangkah sempadan cinta. Sham sangat istimewa pada Masy. Kerana itu Masy sangat merasai kehilangannya. Jika ianya terjadi secara perlahan masih tidak mengapa. Ini ianya terjadi begitu drastik dan mendadak.

Penutup;
Sebuah kisah yang sangat menarik. Boleh dibukukan jika ada kesungguhan. Allah itu Maha Mengetahui yang terbaik untuk Masy. Jangan berhenti berharap dan berdoa. Mudah-mudahan kehidupan Masy seperti titis hujan di sinar mentari. Sejuk, cantik lagi berkilau. Selamat sejahtera untukmu.

P/s Kalau nak tau, sayalah Sham tu..

Masy said...

kak ungku,
sape kata free? bayau lee bayau..!! hahahah

skidg8,
yup.. hidup mesti terus,

indera kencana,
setiap kata-kata yg indera taipkan di atas, mmg berjaya mmbuat airmata sy bergenang (cover cover xkan nk nanges kat opis haha). mungkin ada kebenarannya, mungkin apa yg sy rasa dahpun indera 'baca' seperincinya dlm entry2 ni.

tp pembaca sekalian, indera bukan sham ye.. heheheh :D

azriey said...

Yang sudah tu sudahlah....
banyak-banyak la bersabar....

Malam bulan dipagar bintang
indah seri cuaca malam
barang lepas usah dikenang
takut bertambah luka didalam

minnie said...

salam masy..

Mula-mula aku sgtlah terkejut membaca entry ni... benar ke ni blog masy.. setelah diconfirmkan dengan berbagai cara, akhirnya aku pasti... ini blog masy... cayalah masy...

Bagi pihak ko, aku faham, ianya adalah satu pengalaman hidup yang amat menyedihkan... tapi dah suratannya begitu.. satu masa dan ketika yg diizinkan-Nya, aku pasti kau akan tau juga penyudah citer nanti...

Masy... Sham.... susun ejaan nama masy, syam... nama ko pun boleh jadi syam.. bezanya h dan y.. pepandai je aku nih... kenapa kesitu plak perginya... Ampun masy...

Masy said...

azriey,
sy cite je ;)

salam minnie,
mungkin menyedihkan tp tak smpt amat menyedihkan kot.. ntah ler?

aiyaak bole lak main pusing2 nama kitorang ek hahahaah~

kak lin said...

cian Masy.. takpe take it easy... kak lin ada... leh ganti abg sham.. ehehhe

arianna adrizal said...

err.. no komen. blk karang org peluk ;p

Masy said...

kak lin,
ahahaahah nk ganti ek? ensem ke? ;P

anne,
peluk?? owww tidaaaaakk *lari* ahahahahahaha

kurzz said...

ermm....xsangka sungguh ini adalah coretan dri akak masy kita..biase ayat ikut 'dan' jer hehe...bravoo..bravo....mmg ader bakat gitu :) teruskannn.....

p/: blk karang suh 'chemong' peluk..;p

Masy said...

kurzz,
ehem ehem puji ade makne ke tu? ;) ahahahaha mekasih mekasih...

chemong tu sape? cipmang ke? ;p

flush said...

hbs jgk akhirnya.. baik2, takut ada org copy pastu htr kat mana2 peraduan.. baik g buat copyright cpt2..

Masy said...

flush,
errr... camne lak tuh nk wat copyright?

kurzz said...

makne? ye..ye..mmg ader makne..bukan kosong je pujian sya tu...nk tahu?..maknenya ialah..'pujian itu diucapkn mmg dgn niat untuk memuji si penulisnya'...*jgn pening ek!..muhehehe..;p ape2 pun syabbas betty..syabbassss!!..

p/s:'chemong' tu nama watak dlm citer 'Do Re Mi':)

achik said...

huhuhu.. tacing tacing..

ada bakat la kak masy nak jadi novelis.. ecececeh.. ;)

Masy said...

kurzz,
tp sy pulak ade makne, pekata awk mentranslatekan pujian awk tu dlm bentuk... perbelanjaan makan ke kasut ke baju ke.. barulah hebat!~ ;) hihi

achik,
tulis cite betul bolehlah achik, klu nk imejin tu lom terer lg. blom ade bakat ler... jauh lg tu... :)

Anul said...

uihhh..touching sihyuttt..mmg novel cinta remaja ni...takpe masy..jodoh kau mungkin dgn org yg lebih kau hargai nnt..=]

faisal said...

sedeynye org bac akak,huks..rase mcm nak suh rampas si sham tu je,mauahahha..kak, sham yg kita berbuka bersama tupun available lagik,kekekeke...

lady said...

salamm laling..
Redhalah atas apa yg telah berlaku dan telah pun berlalu. Dalam hidup kita harus belajar menerima 'kehilangan' insan2 kesayangan dan sesungguhnya KEHILANGAN adalah sesuatu yg teramat pedih untuk dihadapi..pedih untuk diungkap dgn kata2..sukar untuk melewati musim2 duka..
hanya redha yg akan meringankan segala bebanan rasa yg ditanggung..

berjuanglah demi sebuah ketenangan jiwa..

qiss~.. tears..

Zalisa Maz@ZN Isa said...

Masy tau tak? en3 sopan ini lebih menyentuh rasa daripada en3 yg menggunakan bahasa rojak. Sungguh. Kak menghayatinya dengan sepenuh perasaan.

Noushy Syah said...

Kak Masy, i agreed.Bahasa mcm ni lebih berkesan dibaca dan lancar dari bahasa kuah rojak..cayalah kak Masy.

p/s Tak nak anta script keTV4 ke?:p

Masy said...

anul,
ko nanges tak? heheh. insyaallah satu ari nanti ye ;)

acai,
gilak ka? dia dah x ebelebel le :p sile tunjuk org len pulak hueheheh

salam laling,
sepanjang masa ni, sy dah terbiasa menerima kehilangan org2 yg sy syg dgn pelbagai cara - kahwin, bertunang, meninggal dunia - hampir semua sy dah alami dan sy redha. mungkin tempat terbaik utk mereka bukan di sisi sy..

dah dah jgn nanges :)

kak zal,
sy tau tu ;) sbb tu sy lebih suka menggunakan e3 sopan utk meluahkan perasaan yg x best. tp utk hari2 biasa, sy selesa dgn cara sy - rojak itu sedap ;) apepon, terima kasih ye kak.. :)

noushy,
bahse kuah rojak la pulak ;) tak bole selalu le noushy, nanti akak jadi sensitip lak (betuiii)

klu anta skrip ni, dorang nak ke? penonton biasanya nakkan skrip yg happy ending, cite akak ni bakal menghampakan penonton - nanti akak kena maki hihihi~

nina~syazna said...

arghhh..sediyyy...
menitis air mataku...
tapi kak nina salute you...u're strong girl...
semoga Allah merahmati kamu dan kebahagiaan akan menjadi milikmu jua...

Masy said...

kak nina,
argghhh jangan sesedih :)
insyaallah, mari sama2 menguatkan jiwa dan raga ye ;)
amiiiiiiiiiiiiiiiin~

amirahsyuhada said...

saya faham...

Ummu Ati said...

Assalamualaikum masy...kak wa tumpang seronok baca blog masy. Teraccident ni sebetulnya.Tak pe le masy memang susah nak "menagih kasih". Tapi yakinlah bila kita sudah bersedia Allah akan limpahkan kasih buat kita dari pelbagai sudut.Sebab kasih yang mahal mendapatnya juga agak berliku.

Masy said...

amirahsyuhada,
.. berpengalaman yg sama? :)

salam ummu ati,
terima kasih kak sudi ke sini. sy yakin Allah mahukan sy lebih menghargai seseorang yg bakal bergelar suami sy nanti setelah berkali2 dilukai :)