Friday, August 28, 2009

436: Hujan Kadangkala Membuatkan Aku Merapu Sendirian

Sepanjang Ramadhan kali ni, boleh dikatakan setiap hari hujan, kan? Ada yang tensen ke? Jangan weh.. hujan rahmat ni.. Di bulan yang mulia pulak tu. Kan bagus sejuk-sejuk macam ni.. Kurang sket rasa haus. Tapi ada bertambah pulak rasa nak tido. Hahaha.
Dalam bulan puasa ni, Mr Sivaji dengan mulianya telah membenarkan staff yang punch in pukul 8 pagi untuk pulang pada pukul 3 petang. Wah wah wah. Untuk pengetahuan korang, kat opis aku ni flexi time sket. Masuk pukul 8 am, balik pukul 5 am. Masuk 8.30, balik 5.30. Paling lewat masuk pukul 9, balik pukul 6. Flexi sebab ada di kalangan staff yang duduk jauh (ada dok Sepang, Gombak dan Puchong. dulu yang dok Kajang pun ada. untuk staff yang dok kat Zimbabwe, digalakkan datang awal sebulan hehe acah jeee).

Sape plak yang rajin datang pukul 8 pagi tu? Aku laaa. Aku sorang je tau. Tapi bila bulan puasa ni, tambah laa lagi sorang. Kakak Gombak tu pon datang awal supaya bole balik awal. Gud for her - boleh spend time lebih sket dengan famili. Aku? Aku leh spend time tido kat umah sementara nunggu Asar pastu baru pegi pasar Ramadhan hahaha. Ooo patutlah segar semacam je skarang ni, cukup tido rupanya.

Oh ye.

Salah satu entry aku di dalam blog ni telahpun selamat dicetak dalam bentuk buku yang boleh anda kelek ke mana saja. Apapun, aku nasihatkan tak perlulah kau kelek BLOOK itu ke masjid semasa sembahyang terawih. Bimbang tumpuan dan perhatian semua jemaah akan beralih ke BLOOK itu plak. Jangan ye kekawan, I'm begging you. Hahahaha.

Sapa yang nak beli dan memiliki, boleh ke blog Encik Firul selaku mastermind dalam kes ini untuk sebarang urusan jual beli dan pindah milik. RM20 je korang.. belilah tau! Aku sebenarnya teruja dan nebes walaupun sumbangan tulisan aku tu sikit je (sikit sangat), tapi aku tengah kontrol, berpura-pura cool dan beraksi biasa-biasa saja supaya tidak overshadow perasaan Encik Firul yang sepatutnya lebih teruja daripada aku. Hahaahah.

Belilah. Kerana keberadaan aku di dalam BLOOK ini adalah untuk menebus rasa kesalku - yang pernah menolak jemputan Azhar suatu ketika dulu untuk menempel di dalam BLOOK dia. Rugi dan kesal tak berkesudahan, memikirkan peluang macam tu terasa mustahil untuk didapatkan lagi. Tapi syukur, Allah masih berikan peluang. Eh, perasan tak? Ayat aku tetibe je melankolik. Poyo ah.

Ni sume pasal hujanlah ni. Hehehehe.

Ada idea tak untuk juadah berbuka petang ni?


edited : jard bising plak nama dia takde dalam ni. haa semua orang, ketahuilah sesungguhnya di atas jasa Jard laa aku berkesempatan menempel dalam blook Encik Firul. heheheh (lupe nak tulis arr Jard, sori2 ehhehe) Thanks!!~

Wednesday, August 26, 2009

435 : Blues Ramadhan

Sana sini blog bercerita pasal kenangan Ramadhan. Ah.. biasalah kan? Time-time lapau, semua jadi blues. Hahaha. Aku kalau nak bercerita, ada banyak betul kenangan. Aik. Cakap macam dah tua nau plak. Hmm..

Tak silap aku, aku mula belajau puasa masa umur 5 tahun kot. Dah tu aku start sekolah pun umur 5 tahun. Masa kat tadika tu, rasanya aku terlebih aktif laa pada hari pertama puasa tu. Aku rasa laa... Sebab balik je umah (dari tadika tu transit ke sekolah dulu- sama ada sekolah abah atau sekolah mak. tapi aku prefer sekolah mak kot. sebab dengan abah boring sket - dia asek merayau satu sekolah, cekgu besau le katakan. kalau kat sekolah mak, aku dok kat library baca buku, takpun ikot skali mak aku pegi mengajau haha), aku sudah bantai melepek daa depan tv.

Makkk...
Ye..
Kalau Ta nak minom takleh ke?
Puasa kan? Mana leh minom
Ala.. tapi haus ler.. huhu
Tahan laa sket..

Aku diam. Buat laa nak tidor konon, aiyoookkk perot rasa macam nak hancor je. Imaginasi aku time tu laa. Kali ni aku pegi je kat mak aku yang tengah bersilat kat dapur. Aku rasa aku merangkak laa dari hall ke dapur. Drama sangat kan? Hahahaahah.

Mak.. aku duduk depan pintu
Iye..
Nak buka poselah eh? Tak tahan ler..
Sabarlah... Lagi sket je ni nak.. Ade 5 jam lagi..
5 jam?? Lamanya! Kalau mati ni kang macamane? Huhuhu

Gaknye iyelah kan.. mak aku kesian. Dia pun buatlah susu.. makan dengan roti je. Yeahuuuuuuuuu!!!! Makan macam tak penah jumpe makanan selama sepanjang hayat. Tapi lepas dah kenyang tu, rasa menyesal pulak.

uishhh... yg ni sedap sangat ni. hehehe


So.. pengembaraan Dora The Explorer dalam misi memenuhkan puasa pun bermula laa keesokan dan esoknya lagi dan lagi dan lagi. Bagus Baby! Inilah yang kita mahukan!

Tapi ade satu kejahatan aku yang mak aku tatau sampai skarang. Takot plak aku nak reveal dalam blog ni. Eh, korang tak kenal kan mak aku? Tatau nomo tipon umah aku kan? Sape yang ade tu, jangan gi report plak kat mak aku. Rosak laa reputasi aku sebagai anak yang baik (eh baik ke? huhuhuh).

Ekcely, masa aku darjah 6, boleh dikira berapa hari je aku pose penuh. Jahat laaaaaaaaa. Rembo!!! Ko ingat tak? Hahahaa mane leh lupa puasa Fanta kita tu. Tahun tu memang tahun jahat aku laa. Patut laa tak dapat 4A. Bayangkan jahat camne eh.. Masa tu ye lah budak-budak. Semua nak try. Ada laa kawan-kawan aku yang nak try camne perasaan mencuri kat PERNAMA (sape yang hidupnye ada kaitan dengan army, kem askar dan sebagainya mesti tau punye). So...

Dorang - yelah² termasuk aku laa - pun masuk ke PERNAMA. Tapi percaya tak, setiap orang akan ambik barang, kecuali aku. Aku just tukang cover je (kot² laa orang kedai tu perasan). Tapi kemudiannya hasil rumpakan kecil-kecilan tu sume aku tak usik walau secoet pon. Ingat lagi Rembo dok racun-racun aku.

Syita.. nah laa cekelat ni, sedap ni...
Ah! Takmo lah..
Makan jelah

Takmo takmo..
Betul ko taknak ni? sambil menggoda aku dengan menjilat-jilat cekelat Cadbury tu. cissssssss
Takmo ler.. berdosa laa makan benda haram.

Waaaaa pandainya cakap. Yang bersekongkol sekali tu, tak takot dose plak? Isk². Ya Allah... moga dosa zaman kanak-kanak aku tu diampunkan laa hendaknye. Ke nak pegi cari owner PERNAMA tu? Ntah² dah pindah. Huhuuhuhu~

Apepun adik-adik, ibu-ibu, bapa-bapa dan rakan taulan sekelian. Doakan semoga generasi kita akan datang ni tak mengikut laa pangai jahat kita (kalau korang ada laa... aku ada dah huhu). Pastu untuk yang berniaga sendiri - ada kedai sendiri, jangan lupa check beg skolah anak korang. Entah-entah dorang songlap duit kedai pastu belanje kawan, ko mana tau? Ini pengalaman aku ni (kan Rembo? ko takot tak lepas dapat tau tu?). Check sekali akaun kedai, kalau ade short tu - haaaaaaa bawak²lah check ye.

Laaa aku nak cite pasal kenangan Ramadhan kan? Apsal laa bagi tips camne nak kantoikan pencurik ni? Adehh....~

yang muka mesra alam pon kekadang lagi jahat dari orang jahat. tapi bukan aku laa weehh, aku dah insof~

Monday, August 24, 2009

434: Konflik Saliva Melelehangata

Salam sume..

Semalam ke Bazar Ramadhan kat Stadium. Ramainye orang macam biasalah. Aku, Minnie dan kawan kitorang berjalan selow di dalam lautan manusia. Tangan aku cam biasalah, tak lepas-lepas dok pegang je lengan kakakku itu. Hehe. Yelah kang kalau ilang kang, tak ke naya. Huhu~

Aku bercadang nak beli kuih. Tapi tak sure kuih ape. Heh. Dalam kete, rasa nak beli popia basah.. Rupa parasnya haruslah dipastikan seperti ini, ataupun yang paling hampir dengannya ye kawan-kawan..

credit to : carigold.com


Tapi manusia beratur begitu panjang skalik. Panjang dua kalik sebenarnya. Maka akalku memujuk-mujuk seleraku - ala.. tak payahlah.. ramai tu.. lenkali eh baby? eh eh? Dan sebagai seorang aku, kata-kata akal sesekali ada benarnya maka diturutkan saja laa... *tunduk lesu*

Lalu ape lagi yang ko mau beli?? Ntah, kata aku. Dah macam mereng plak bersoal jawab dengan diri sendiri. Adeh...


Jalan... jalan.. jalan.. jalan.. jalan... Untuk keadaan itu, ku tujukan lagu berikut :

Mana silapnya arah yang aku jejaki
Yang ku temu hanya pintu sepi
Dalam keriuhan ku rasakan kekosongan
Jiwaku dahaga kasih sayang
Masih tak bertemu yang kucari dulu
Hati masih berlabuh
Dalam langkah perjalanan terkeliru
Hilangnya arah tuju

Sungguh lama terpisah pandangan
Sejak detik akhir pertemuan
Jauh meninggalkan dirimu dan diriku
Terpisah bersama waktu

Sejauh mana sekalipun aku berlari
Ingatan padamu menghantui
Aku tak mengerti dan tidak ku mampu lagi
Menahan gelora hati ini
Ingin ku kembali ke jalan yang dulu
Aku rindu padamu
Moga dibukakan semua pintu-pintu
Untuk ku bersamamu

Ingin aku mendaki semula
Tangga-tangga ke pintu bahagia
Mencari cahaya cinta yang sebenarnya
Antara aku dan dia


Sekian. Sambung cerita.

Jalan lagi.. Akhirnya aku terfikir sejenis makanan yang aku idam-idamkan.

Gambar ulangan ni. Ada kat entry bulan April. Ermm....

Malangnye sampai ke sudah tak jumpe gak. Kucivaaaaa.. namun ku pasrah, kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya. Memang pon~ Banyak betul makanan kemudiannya. Tak sedau-sedau diri dah gemok tu, hentam gak. Sayang laaa makanan tu kang tak abes, membazir (ayat mak-mak ni takleh blah).

Petang ni nak trylah cari. Semoga berjaya, baby! *tepuk bahu sendiri dengan yakin*

...

...

Eh, kejap! Nak beli popia basah ke sira pisang?

Arrghhhhhhh sadap u!!!

Thursday, August 20, 2009

433: Dugaan Menjelang Ramadhan



Salam Ramadhan untuk semua.

Harap ini bukannya Ramadhan yang terakhir untuk kita, insyaallah. Dan jika ini yang terakhir, moga amalan-amalan di dalam bulan yang mulia ini akan diterima dan pahalanya berganda, melebihi amalan-amalan yang sama kita lakukan di bulan Ramadhan yang terdahulu.

Mohon maaf andai ada kesalahan yang tak terampun pada anda semua (macam nak raya pulak ye? hehe).


tahun ni masih sorang lagi..

*******

Pagi tadi ada peristiwa. Hari ini dalam sejarah. Sejarah aku jelah. Heh.

Macam biasa. Bersiap dan bergegas seperti jurugegas ke pejabat pagi ni. Alkisah sekarang ni ada kerosakan kot kat palang guard tu yang menyebabkan aktiviti keluar masuk penduduk kat situ agak lemau sket. Biasanya nak masuk, just sentuhkan je kad tit-tit tu (aku tatau nak panggil kad ape, touch n go kaa.. censor card kaa aku tak sure) dan palang tu akan terangkat. Tapi dua tiga menjak ni, kene harapkan pakcik-pakcik dan abang-abang guard untuk open the close.

Pagi tadi (woi bile nak start ni!).

Fahrin bergerak lembut membawa aku bersamanye ke arah guard.. di hadapanku, sebuah Vios kaler kelabu yang kelihatan mewah namun tetap kebasahan seperti Fahrin kerana hujan. Jarak aku dengan Vios tu lebih kurang se-dua meter je (wah rapatnye - Fahrin laaa gatal nak usha, aku rilek je). Bila abang guard tu dah angkat palang, cik Vios pun jalan la.. Oleh kerana aku ni taklah jauh mana pun, aku pun takde laa berenti - sebab biasanya kalau dah ada dua tiga kereta, pak guard tu angkat sekali jelah kan? Jimat elektrik tu (ntah ye tidak).

Namun ramalan dan dugaanku silap belaka. Ketangggggggg bunyik palang berlaga manjakani dengan kepala Fahrin. Aduhhhh aku gosok kepala - macam laa kena kepala aku.

Palang yang ditanduk itu patah la aku rasa. Sebab tercampak nun depan aku. Hehe. Cumanya taklah sampai tercabut. Boleh repair lagi tu (sedapkan ati lalalala). Aku pun berenti kat depan sket, bukak tingkap. Ku tengok abang guard tu mukanya cam kelat blur la. Tak marah kot. Sebab hari-hari aku angkat tangan kat dia kalau dia jaga. Err... bukan dia je, pakcik-pakcik guard pun turut mendapat layanan yang sama rata. Adil dan saksama serta tidak memilih kasih aku ni.


errrrr... aku tatau nak cakap ape

sori eh.. ingatkan nampak saye tadi
erm.. takpelah kak. akak jalan jelah
sori eh
takpe..

Fuh~ Lega. So.. Anne, pagi tadi takde palang mengganggu kan? Thanks to me. Hahahahaahhaah!!!

Status aku di fesbuk:

pagi² dah langgau palang guard kat umah sampai patah. not sure either it's my fault or dat guard guy. apepon, sori eh abg guard.. samat berpuasa.. renung²kan palang tu dan selamat beramal~ :D

Jangan marah haaa....~

Wednesday, August 19, 2009

432: ..


" mungkin kesepian yang mendalam
akan menyela kesedihan ini"


" sekarang aku berhitung sampai dua belas
kamu tetap diam dan aku akan pergi"



dah, diam diam! huhu

Monday, August 17, 2009

431: Jumaat dan Sabtu Nan Lalu

Anul, aku cilok pic ko ni takpe eh? aku kan mesken takde kamera cam korang. hehe


Gambarajah di atas menunjukkan sepasukan bloggers sedang berbual dan memamah mesra sate free yang ditaja oleh Zonaku dan menelan penuh sipu air yang ditaja pula oleh Wafa. Ai like! Walaupun misi aku untuk memakan sebanyak 15 cucuk sate tidak kesampaian, namun sepoloh cocot pon masih dikira satu kejayaan besau ye tuan-tuan dan puan-puan.

Yang hadir pada hari kejadian : aku, Anne, Zonaku, Wafa, Aima, Keri, John, Kueh dan skandal gelapku Anul (skendel laa sangat hahahaha). Million thanks to all, dan pada Anul si Ceplos yang sudi menjadi escort aku ke stesen minyak, 7E dan bertindak sebagai polis bantuan demi memastikan aku menuju ke jalan yang lurus - dari Kajang ke Shah Alam (eh tak lah dia escort sampai Shah Alam :p)

Nanti boleh kita jumpa lagi, ok!

******

Patutnya malam tu aku tidur kat umah abang aku. Tapi mengenangkan banyak perkara, antaranya aku nak makan sate (giler selfish) dan sebenarnya aku takmo sesakkan umah abang aku tu (tengok, niat baik jangan disalah erti ok), so aku datang pagi-pagi pada hari Sabtu. Teguk air liur tanda kesal bila mak kata anak buah aku si kecit Saadah itu bertanya pada mak aku pasal aku.

dia tanya mak tido mana, mak tunjuklah katil ni. pastu dia tanye - ati ucu tido ane? (means nanti busu tido mane?)

Alahai... rasa bersalah secara tiba-tiba. Tu lah aku ni pon dah lama tak balik. Pagi tu pon aku takde la dapat nak layan sangat. Apepun, moga hugs and kisses yang telah diberikan pagi tu bole mengubat apa-apa yang patut diubat. Hehe.

Meh nak cite kisah kat dapur.

Masa aku dok potong cik timun dan cik kacang botol. Korang penah kan letak potongan montot timun tu kat tepi dahi? So pada hari kejadian, aku pon buatlah. Sekali Bancik aku nampak, terus kene kutuk.

oit.. ko main tepek je camtu? bukan camtu laaa
tepek jelah. abeh tu kene watpe plak?
memula kene wat camni dulu.. dia amek potongan montot timun tu dan genyeh² balik kat bekas potongannya sampai kuar getah. Yang aku ternganga la kejap. Hehe.
hah pastu amek getah dia ni hah.. baru le tepek - sambil tepek kat kepala aku. Hahah
ooooooo camtu eh
abah tak penah ajau ko dulu eh?
takde plak ehehehe

Pastu dorang pon bercerita laa khasiat montot timun letak kat kepala tu bla bla bla. Abes kisah timun, aku sambung potong kacang votol tu hah. Skali tu mak aku cakap..

Ta, tu kalau ko makan hujung dengan pangkal kacang botol tu bagus tau
apsal plak?
banyak khasiat tu
yelah mak tu
eh betul ke mak? khasiat ape? akak² ipau aku eksaited laa tu nak tau
pehtu aku dengau mak gelak², kan aku dah cakap
dah kata dah kalau kat umah ni - baik tua baik muda, sume memang suke nak kenekan aku
hahahahahahhahahhaa mak aku gelak sakan.

Sabooooo jelah. Hehe.

Friday, August 14, 2009

430: Kicap

Satu masa dulu, hubungan aku dan kicap sekadar biasa saja. Ada tak ada, tak mengganggu gugat pun nafsu aku terhadap makanan yang terlentang ghairah di atas meja. Kicap hanyalah sekadar kicap, yang kadang-kadang perlu juga dicapai, terutamanya bila telur separuh masak yang hanyir dihidangkan dan dipaksa makan oleh mak aku. Huhu~

Tiba-tiba, kicap menjadi elemen penting pada aku.

Tahun 1996. Kontrak memasak di kantin asrama bertukar tangan. Daripada tangan Kak Ogy and the gang yang anak buahnya menggilai aku secara gila (sampai sanggup jadi tukang senduk nasik - kan bagus kalau tukang senduk lauk. aku lagi suke lauk banyak daripada nasik banyak huhu), kini servis beralih ke tangan Pakcik Zul.

Ada pro dan kontra - macam biasalah.

Kategori kesedapan makanan : dimenangi oleh Pakcik Zul dan kroni
Kategori kuantiti makanan : dimenangi oleh Kak Ogy and the gang

Makanan agak sedap, tapi sikit sangat sampai kena berebut-rebut. Sebijik macam pelarian Somalia. Makanan ala-ala, tapi boleh makan sampai kenyang sendawa patpuloh kali. Mana satu yang kau pilih? Untuk aku yang dah terbiasa menapau biskut meri coklat setinggi tumbler, memang tensen bila biskut dicatu - sorang dua keping je. Huh!!

Makanan sedap. Kalau sedap. Ada masanya tak sedap pun. Ketika itulah hubungan aku dan kicap mula terjalin.

"seperti mimpi, perkenalan itu cuma seketika
namun di dalam hati, dirimu ku terkenang jua
"
Kembali Terjalin - Slam


Tak pernah pun aku pedulikan botol kicap atas meja selama ini. Tapi sejak-sejak lauk selalu tak sedap, pantang betul aku kalau tengok atas meja makanku takde botol kicap.

"engkaulah permata di dalam genggaman, tidakku sedari
kaca yang bersadur keemasan, terus ku cari
"
Kembali Terjalin - Slam

Demikianlah lagu yang ku rasakan sesuai dengan peranan kicap tersebut dalam hidup aku.

Kadang-kadang macam tu kita ni kan. Ada depan mata tergolek-golek, buat tak tau je. Dah terdesak, baru tak tentu arah. Tapi kualiti kicap pon boleh dipertikaikan.

Kicap zaman paleolitik awal a.k.a geng Kak Ogy : cair mencahau tapi banyak
Kicap zaman pleistosen (bukan playstation eh) a.k.a geng Pakcik Zul : pekat likat tapi kuantiti selalu macam dah nak abis.

Dua-dua pun bikin gua panas. Kalau tak kerana lauk yang tak akan berirama kalau takde kicap, dah lama aku berenti skolah - bukak kilang kicap sendirik.


bakal kicap keluaran aku. masih prototaip lagi ni.

Sekarang pun masih suka. Tapi bukanlah kemestian. Kalau kena dengan makanan dan caranya, memang terangkat laaa pinggan di udara dek penangan kesedapannye hoh?

makan macam adek ni. gigit pipi dia camtu agaknye, mesti best~


# nak buat macamana kalau hati dah sayang. hmm..

Wednesday, August 12, 2009

429: Aku dan mereka di sana

Salam sume..

Aku ke FINAS seperti yang aku gembar gemburkan aritu. Hehe. Aku tiba sebelum artis tiba ok. Ni sume sebab salah info. Bukan salah aku. Tapi aku happy la sebab berjaya tiba di tempat kejadian tanpa sesat dan perjalanan ni sume tak mengganggu solat aku. Aku lega.

Patut start awal, akhirnye start pukul 8.00++. Hmmm...

Malas nak dok depan. Kat depan takleh nari². Hahahahahaa.

Secara peribadi. Aku masih impikan Exists dengan vokalist lama. No offense to the new one. Apapun, masih ada ruang untuk diperbaiki. Not bad at all, but... lain kali sila jangan lupa lirik lagi, ok? Mek tensi bila mek folo nyanyi skalik, orang yang nyanyi tu salah nyanyi pulak. Kucivaaa sangat tau...

Show tamat menjelang pukul 11 lebih. Oleh kerana kitorang nak wat suprise untuk bday Along, makanya bertolak laaa kitorang ke Ampang. Alamak Taman apetah aku dah lupa. Dah laaa dorang ni bawak kete cam pelesit, sian aku tertinggal. Sesat plak tuh. Kredit abes pulak tu! Sibbaik Along perasan aku dah takde dalam line, so dia pon call² dan bagi direction. Siap tunggu tepi jalan lagi. Baiknyeee la hai... abang-abang gitu sifatnye. *to his wife : untung laa ko dapat laki camtu, berbaloi-baloi sangat tau..*
Ada pic dia potong kek tapi takleh la nak letak sini. Kene letak tempat len. Alkisah bday man tatau nak potong kek supaya mampu dimamah semua hadirin, maka sebagai asst town planner (bole gitu bini dia bagi alasan? wakakaakaka) aku ditugaskan laaa untuk potong kek tu. Merasa laaa sume orang Choc Moist tu. Sedap! Tapi aku tak tapau - malu kot. Hahaahhahah~

Sampai umah pukul 2++ pagi kalau tak silap. Tak larat nak tunggu mek tu kemas beg, lepas solat aku mintak izin tido dulu.. (macam cakap kat asben plak nak mintak izin tdo, seswatuh sangat eh). Hehehehhe~

Aku masih mengantuk lagi ni. Huhu~

Monday, August 10, 2009

428: Penat tapi sonok ehek ehek

Salam semua..

Ya.. sekali lagi ku jalani hujung minggu yang agak memenatkan tetapi adventurous (mana tah adventurousnye aku pon tatau hihi). Masih lagi dalam mode untuk entertain kawanku yang bercuti.

Jumaat malam, dia sampai dari Rawang untuk bermalam kat umah. Masa dia sampai tu pon dah nak dekat pukul 12 malam. Member lapau laa plak. Aku pon siap-siap ala kadir (asik 'kadar' je heh) dan shoot ke Pak Li. Aku yang dah kenyang giler ni tak makan la, dia je yang makan. Sampai kat umah dalam 1 lebih kot. Borak-borak, merencana aktiviti esok dan aku pon tetibe tanya dia.

ko nak pegi ke tak konsert tu?
naaaaaaaaaaaaaaaaaaaaakkk, tapi lupe laa nak call pagi tadi (ikon gigit kuku)
ermmm.. takpe. jap.

Pegi depan, sambar brodben budak umah dah terus online. Pukul 2.30 pagi, tiket pun berjaya ditempah. Ahahaha. Giler giler.

Konon pagi-pagi nak pegi mandi manda kat Sunway Lagoon. Bangun pun lambat. Sambil siap-siap, kitorang kene pikir plak macamana nak pegi Istana Budaya malam tu memandangkan roadtax kete aku tak dapat lagi dan aku tak berani woo nak pegi KL takde roadtax. So datang idea nak sewa kete. Tapi asik tak dapat je bila call.

Panjang cite masa ni. Aku shortcut jelah.

Tak jadik mandi kat Sunway Lagoon, lepak Sunway Pyramid. Makan² kat Sakae Sushi.Lepas makan, aku g solat. Pastu ikot jelah soping, cam biasa aku tak soping. Tapi ada orang suruh aku beli gak kasot tuh, siap sanggup topap separuh. Kahkahkah. Beli jelah.

Pukul 5 bergegas ke Subang. Balik Shah Alam, sampai umah nak dekat pukul 6.15. Siap dengan kepantasan cahaya, call teksi. Pukul 7.15 malam, shoot ke Istana Budaya. Show start at 8.30 pm.
Awesome arrr sore Abang Jamal! Secara tiba-tiba terjatuh chenta jarak jauh dengan dia. Hehe. Kalau ditakdirkan kami bersama, aku harap dia bersedia untuk menerima aku yang tak peduli dengan pandangan masyarakat tatkala ku berjalan berkaki ayam - menjinjing high heels sambil membaca sms di sekitar Istana Budaya. Pasrah ye bang? Muahahaha.


Ahad. Kami ke Sunway Lagoon pulak.

Malas nak letak gambau banyak², hahaha. Kat sana sampai pukul 6 lebih kurang. Kendian masuk balik dalam Sunway Pyramid, nak makan. Dibelanja makan di Tony Roma's. Tak penah aku masuk tempat ni. Mahal dowh huhu.

Sempat amek pic starter je. Main course aku takde masa nak layan kamera, lapau sudah perotku yang tak sarapan itu. Hehehe.

Arinie insyaallah jadi kot gi FINAS. Horaaayyyy~


# semua perbelanjaan dua hari tu ditaja sepenuhnya. aku termalu tapi pasrah. huhu~

Friday, August 07, 2009

427: menghubungi aku selepas pukul 12 malam adalah tindakan yang boleh membuat aku marah

Salam sume..

Malam tadi berbekalkan tiket free yang aku perolehi dari sumber yang boleh dipercayai, maka selamat sudahlah filem G.I Joe ku tonton di GSC The Summit. Panggung berlabel THX (memula aku ingatkan maksudnye 'thanks' hahahah) tu memang terbaiklah. Selesa dan saujana mata memandang. Tiada halangan seperti kepala, kepala dan kepala di hadapanku walaupun semua orang di depan aku konfem ade kepala.


And the muvi itself, syiok. Untuk aku la, dan Anne jugek kot. Hehe. Orang lain aku tatau laa kot boring ke, ngantok ke, ngigau ataupun sakit perot. Terima kasih berjumlah 25.7 kilogram aku hulurkan untuk si pemberi tiket. Lain kali kalau ade lagi, hulur la lagi. Bole aku wat kuiz pulak, kasik adiah tiket free (tetibe je mulia pulak nak bagi orang. hahaha)

Sementara kawan aku tu masih di Mesia, makanya rajin laa pulak dia mengajak aku ke sana ke mari. Alkisah dia balik cuti kali ni pon kejap je, mana laa tak gedik-gedik ngajak aku jalan-jalan. Esok katanya nak gi Genting, siap tido sana lagi. Aku pulak dah hantar proposal untuk ajak dia buat sesuatu yang akan savekan bajet dia. At least kalau dia belanje, takde laaa aku malu sangat. Kalau gi Genting tu dibuatnye dia belanje semua, malu arr aku. Bukan tak suke, tapi segan. Kalau korang pon, takkan tak rasa camtu. Kita berkawan dengan orang bukan untuk paw dia. Lainlah kalau dia hamsap memang tahap bapak segala kejahanaman dan worth untuk dikikis hingga ke tulang sum-sum.

Hope dia setujulah.

Isnin depan Exists ade show kat Finas. Aku tengah pikir ni nak amek halfday. Dah lama tak tengok Exists perform. Sape nak folo? Sape nak amek aku? Eh. Hehehehe. Aku akan terus berfikir untuk ini. Hmmmm...~

Minggu depan pun dah ada program tersusun menungguku. Eceh dok pikir program je. Keje dah lupe ke? Alahai... pikir keje terus nebes.

huhuh~

Wednesday, August 05, 2009

426: Tag dari Kak Luna da Sauza

Award dan tag daripada Kak Luna. Mari layan. Hehe.

1) Copy award untuk diletakkan di blog anda

thankssss ;)


2) Nyatakan 6 fakta menarik tentang pemberi award ini

1. for me, Kak Luna is a bright woman (bukan nk ampu eh, hehe)
2. peka betoi dengan isu semasa. kalau aku rasa ketinggalan pape, tanye dia je hehe
3. mudah diajak berbicara, apatah lagi bila status ym dia 'kaunter pertanyaan sedang dibuka' :D
4. berhajat nak tambah anak. sape-sape ade petua, silalah berkongsi. baby naif hal2 ni. huhu
5. wanita yang pasrah. hehe. betul tak kak? (luas makna pasrah ni hehe *smile*)
6. oh lupe fakta. seorang isteri, dan ibu kepada seorang anak yang becok. hahaha

Jumpe Kak Luna pon sekali je, tu yang tak tau nak cakap ape. Lagipun saye tak judge orang. Sume orang baik jeee di mataku. Means selagi dia belum mencucuk mataku laa hehe

3) Setiap blogger mesti menyatakan 9 fakta/hobi diri sendiri

1. suka membaca.
masa sekolah dulu langsung tak minat sejarah. dah besau2 ni suke plak. ade hati plak tu berangan nak jadi arkeologist. so skarang ni mana2 kedai buku kee section dlm library ke, part ni memang feberet aku. ni kat Times. rasa nak pengsan tengok buku2 pasal Egypt merata2. ku terpaku di sini nak dekat 1/2 jam. tapi ku juga suke tentang design, especially pasal urban and building. ah ngade2 aku ni. huhuhu~

2. seorang yang fleksibel (aik macam Kak Luna je? tapi aku rasa aku camtu lah)
3. ramai orang kata aku degil. ye kot.
4. mak kata aku keras ati. ye kot.
5. tapi sebenarnya nun di sana, hati aku mudah dikawtim. kalau selidik hasil tulisan aku, mesti korang perasan. tak guna betul. hahaha
6. minat giler kat Exists. eh kalau Exists ade wat show pape, sape nak folo?
7. aku tak choosy dalam berkawan. tapi choosy when it comes to hang-out friends. hahahah
8. akulah manusia yang mempunyai kombinasi penyabar dan panas baran. camne tu?
9. low-self esteem. tatau la ade orang nak percaya ke tak. tapi betul. huhu


4) Anda perlu memilih 10 penerima award seterusnya dan describe tentang mereka:

1. Anne - si kurus berlemak yang mahu kecikkan badan, suke tido budak ni. haha
2. Yaman - anti durian. suke masak. bak sket lauk :D heh
3. simple_me - tak kenal lagi. used to be my silent reader (silent giler sampai aku tak sedar haha) tapi dah ade blog
4. Wafa - melihat dan membaca blog dia kadang-kadang wat aku lagi low self esteem huhu (tapi akak suke gak baca!)
5. Jard - boss kecik yang bz semedang. sinonim sungguh dgn ABC Fradoo.
6. Yonna - orang kuat Chika. kreatif, riang ria. errr tapi kadang2 sadis gak hehe
7. Deanz - lama tak tag encik ni. what can i say about u, master ji? ;D
8. Kadok - orang kampung aku ni (betul ke bro? rasa macam ye hehe). so takleh kutuk orang kampung hahaha
9 . Kuehbakar - bisnesmeng yang masih berusaha dan mungkin on the way dah berjaya dalam usahanya. oit utang dengan aku jangan wat² lupe plak :p
10. Anul - giler budak ni! hahahaha. kuat kutuk orang, tapi takpe - dia baik. ehem utang dengan aku gak ni. bile laa aku nak tuntut ni lalalalala~

Soklan seterusnye.

1. Nama timangan anda?--------> Timang-timang Olivia Mira Edora Masy Al Haj
2. Anda Seorang Yang?--------> gagah haha
3. Insan Yang Teristimewa?------------> Faizal Hussien. bole??
4. Lagu Kesukaan?-----------> skang ni suke dgr Kak Timah (Khatimah) Cinta by 6ixth Sense hehe
5. Makanan Kesukaan Anda?--------> yang sedap
6. Sikap Yang Membuat Anda Stress?---------> lemau
7. Warna Kesukaan Anda?-----------> yang menjadikan mood gua hepi
8. Benda yang mesti ada dalam beg?-----------> duit
9. Kali terakhir anda menangis?------> lupe sudah. bile ntah.


# aku takut.

Monday, August 03, 2009

425: Double Happiness

Salam sume..

Penat! Itulah perkataan yang menggambarkan situasi tubuh dan minda aku skarang nih. Minggu yang hectic (konon-konon) tapi fun la jugak walaupun sesekali aku rasa tubuh aku berjalan-jalan tanpa roh. Aikk dah macam zombie kg pisang plak.

Sabtu.

Petang baru bergerak ke Bukit Kiara.. Masa memberku on da way, dia bagitau ada seketoi tiket berbaki sebab adiknye tak folo. Aku sms beberapa orang kawan yang ku pikirkan berminat dan berduit (tiket RM88 tuh) dan akhirnya ada laa sorang ni yang interested. Hehe.

Sampai di tempat kejadian around 6++. Rembo sebagai tukang jual tiket merangkap mak buyung penjaga pintu gua (eh taklah, kitorang beli tiket kat dia, pantas dan tuntas hihi) dah pesan awal-awal, jangan datang lambat - takot takde parking. Memang masa kitorang sampai tu pon dah kene parking jauh huhu. Sementara menunggu sahabat yang sorang lagi, kitorang melepak jelah kat kaunter tiket tu berbual-bual.

Entah macamana, tetibe je mata aku tertangkap susuk tubuh dan wajah yang sangat-sangatlah aku kenal. Aku nampak dia. Yaa.. orang yang sama dalam entry ni. Sebenarnya aku tau yang dia akan datang, tapi aku tak sangka betul yang aku akan nampak dia. Punyalah ramai orang kat situ, ada berapa puluh ribu??? But still, mata aku ni memang (huhu).. Dan seperti telahan aku, dia takkan datang sendiri, ataupun datang dengan kawan-kawan. Di sana aku nampak mereka berpegangan tangan.
Jantung aku macam nak tercabut. Bukan sebab aku takleh terima apa yang aku nampak, it just.. terkejut je kot. Dan sampai acara selesai, aku berdoa-doa, biarlah hanya aku je yang nampak dia. Can't imagine if he noticed me. Mesti aku kene gak salam dengan bini dia. Mesti aku kene wat muka plastik sket padahal aku rasa dia pun tau apa sebenarnya perasaan aku. Mesti masa nak kenalkan diri, aku akan cakap 'oooo.. saye ni ex opismate dia'. Well... mende tu betul tapi?
Dahlah.

Yee.. aku ke Konsert Search Di Awan Biru. Ahaksss....~


Aku tak kenal pon dorang ni. Tapi sempat tanya nama kakak yang kat belakang aku tu. Thanks to Kak Diah yang baik ati kerana jaga aku kat situ hehe. Aku ni dah laa terpisah daripada kawan-kawan. Ni sume gegara kerakusan sendiri laaa.. Dah tu kalau ko, takkan nak berdiri tengok tengkuk orang je kan. Aku pon selamba berasak sampai ke depan pagar yang memisahkan antara pemegang tiket RM88 dengan tiket Celcom Blue tuh (ke VIP? tak kisahlah).

Sampai kat depan tu, boleh laa plak mamat-mamat keliling aku neh pi cakap kat sekuriti, soh bagi aku masuk kat area Celcom Blue tu, voley?? Hahahaha. Mamat sekuriti tu pon dah tergamam masa budak-budak tu bagi laluan kat aku - tinggal tunggu kata pemutus je daripada encik mamat sekuriti tu. Yang aku plak terkulat-kulat sendirian tatau nak cakap ape hahaha. Tapi akhirnya, dapat laaa aku masuk kat area CB tu. Hahahah thanks guys! Dapat laa aku duduk sementara tunggu budak-budak Search yang tak sampai-sampai lagi tuh.

bagus gak jadi pompuan, hihihi


Bila pulak aku dapat kawan kat situ? Alkisah masa duduk-duduk tu, dorang kat belakang dah mula berasak nak rempuh sekatan. Aku ni bila sorang-sorang kat tempat dan situasi yang aku tak biasa, akan blur laa tak pasal-pasal. Sibbaik Kak Diah tu (memang masa kitorang duduk tu dia ade gak tegur-tegur aku) tarik aku ke tepi. Last-last dia pon berkepit jelah dengan aku. Dah macam aku ni datang dengan dia pulak. Hhahaaha sweet. Malangnya masa half way konsert tu, dia dah ilang ntah ke mana. Tak sempatlah nak tukau no phone ke ape.

How's d concert?

Bole laaa... Tekanan sket sebab mostly lagu-lagunye mampoih aku tak tau nyanyi. Ada laaa 3 - 4 ketoi je kot lagu yang aku tau. Kucivaaaa... *nanges hentak kaki*. Hah cakap pasal hentak kaki, memang malang laa kaki aku ni asik kene pijak je dengan mamat montel depan aku. Bukan takat pijak je hokeh, dia lompat-lompat dengan perasaan teruja pastu terpijak kaki aku. Huwaaaaaaaaaaaaaa~

tapi aku dikelilingi orang-orang baik masa tu, mekasih kat dorang yang jaga aku. mesti kesian tengok aku sorang-sorang je kan hehe

Konsert start dalam pukul 9.30++, habis around 12.30 kot? Ke pukul 1? Lupe sudah..

Esoknya pulak, pegi Pavilion. Aku ni cam malas jeee nak pegi tapi tulah. Dah member aku ni ajak. Nak jumpe minah ni dah laaa payah, bukan selalu dia balik Mesia pun. So.. ku folow jelah. Lagipun tak payah kuar duit sendirik wakakakkakaka keji. Sampai sana, terus pegi beli tiket cite Setem.

credit to filemwayang.com


Ya Allah!!!! Korang gi laa tengok cite ni! Mati terburai laa isi perot ko tergelak-gelak. Hahahahahahahahha.

Apapun, thanks a zillion to ma fren yang menanggung hampir keseluruhan perbelanjaan aku ke sana sini sepanjang kami bersama. Aku kata hampir keseluruhan tu bukan bermakna aku pun belanje dia, tapi kawan dia yang jadik driver kitorang tu yang tanggung lagi separuh. Hahaha giler keji ah aku. Dah tu aku kata nak gi cucuk duit, sekor pun tak layan aku. Apa nak buat? Mek pasrah. Hahaaha.

thanks to her. masa kitorang snap pic kat depan pintu masuk, dia tengok balik pic tu. boleh dia kata 'baby, nape muka ko nampak sedih dlm ni?'. errkkkk padahal aku dah senyum nampak geraham dah masa tu. huhu

Ada dua lagi perancangan yang diutarakan oleh beliau. Aku interested yang seken tu. Yang 1st ni kene wat keputusan secepat mungkin. Nantilah aku pikir.

Awesome weekend! *sangap*